Wednesday 13 November 2013

“Firdaus, Moga Beroleh Jannatul Firdaus.”

Kelmarin, seorang calon SPM dari Maahad Saaniah telah pergi mengadap Ilahi. Dikhabarkan meninggal dunia akibat demam panas. Semalam pula, seorang lagi calon SPM yang menetap di Besut meninggal dunia akibat mengalami sakit buah pinggang. Namun, segala-galanya adalah kembali kepada ketentuan Allah. Aku percaya, insan yang paling sedih adalah ahli keluarga dan sahabat baik mereka berdua. Bukti? Kenyataan berdasarkan pengalaman. Aku pernah mengalaminya. Bahkan kejadian ini melibatkan teman baikku sendiri. Allah lebih sayangkan dia. Moga dia berbahagia di sana.

. . . . . . . . . . . . . . .



Firdaus bin Mustapha. Temanku yang paling akrab tika sekolah menengah dahulu. Di mana aku berada, di situ ada Firdaus. Di mana ada Firdaus, pasti aku seringkali di sisinya. Dua orang sahabat yang sangat rapat. Ibarat isi dengan kuku. Umpama aur dengan tebing. Bak Abu Bakr as-Siddiq r.a dan Umar al-Khattab r.a. Figura wajah beliau yang senantiasa tenang bak air sungai yang mengalir perlahan membayangi mindaku. Tiba-tiba hati ini terpalit rasa sebak dan pilu. Kenapa ye? Mungkinkah aku rindu ingin memeluk kemas tubuhnya? Atau ingin menggenggam erat tangannya? Boleh jadi ingin ketawa riang bersamanya? Atau apa-apa sahajalah.

‘Mar, enta dapat jawab dengan baik tak soalan tasawwur Islam tadi?’ Sapanya saat aku baru nak hidupkan motor untuk pulang ke rumah.

‘Alhamdulillah, jawab tu boleh. Samada betul atau tak tu ana tak pasti laa. Enta macam mana? Mesti dapat score kan?’

‘Ana jawab lebih kurang je. In syaa Allah amin.’ Jawapannya ringkas sambil tersenyum manis.

Kami amat serasi diganding bersama. Dalam apa-apa jua program mahupun aktiviti kurikulum atau ko-kurikulum sekolah, kami berdua pasti akan melibatkan diri. Jika dia pengarah, akulah unit pengisian. Sekiranya aku pengarah, maka dialah yang ditugaskan menjawat unit pengisian. Kami juga berkongsi impian dan cita-cita yang sama. Berjaya dalam SPM dan melanjutkan pelajaran ke menara gading. Berikrar dan berjanji untuk menjaga ukhwah yang terbina. Agar cinta yang bersemi kerana Allah ini terus mekar sepanjang masa.

Kini, hampir 7 tahun masa berlalu. Perbualan antara aku dan dia usai menjawab soalan peperiksaan tasawwur Islam di SMU (A) Azhariah 7 tahun yang lalu masih segar terngiang-ngiang dalam benak kepalaku. Masih ingat! Dalam waktu seminggu menghadapi peperiksaan SPM tahun itu meninggalkan memori pahit yang amat kelam. Dia telah pergi buat selama-lamanya. Tidak sempat menghabiskan saki baki perjuangan sebagai seorang pelajar tingkatan 5. Seluruh pelajar dan kakitangan sekolah dilanda kemurungan. Aku kaget. Sedih. Sebak. Menangis. Tak keruan dan bermacam-macam situasi yang tidak senang mulai melanda diri.

Insiden kemalangan jalanraya yang menimpanya menyebabkan dia ditahan di dalam wad ICU di HUSM Kubang Kerian. Koma selama beberapa hari. Akhirnya meninggal tanpa aku sempat bersalam memohon maaf darinya. ‘Ya Allah, moga dia memaafkan segala dosaku padanya.’

‘Firdaus, sahabatku yang sangat aku rindui. Aku ingin sekali memeluk tubuhmu. Ingin sekali menatap wajahmu tersenyum manis kepadaku. Pernah beberapa kali kau muncul dalam mimpiku. Namun kau hilang kembali. Aku rindu padamu sahabat. Amat merinduimu. Kenangan kita bersama akanku simpan rapi di dalam tasik hati sanubariku. Moga suatu hari nanti aku dipertemukan denganmu kelak. Doaku padamu, moga engkau beroleh syurga Firdausi, amin. Al-Fatihah ku tujukan padamu temanku.’

“Bukan Tak Sudi, Tapi Belum Bersedia”

Malam kelmarin saya sempat membelek beberapa helaian buku bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’ karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Isi bukunya yang padat dengan perkongsian yang menarik dan kisah pengalaman penulis yang menampilkan mesej-mesej yang bermanfaat mulai mengajak fikiran dan jiwa saya khusyuk membacanya. Tajuknya sahaja sudah mampu menggetarkan jiwa penatapnya.

Saya lihat, kebelakangan ini juga ramai rakan-rakan yang terdiri daripada pelajar tahun akhir terutamanya mulai galak berbicara tentang perkahwinan atau Baitul Muslim.

‘Siapakah bakal imamku’?

‘Misi mencari makmum sejati’?

‘Surat buat bakal suami atau isteriku’.

‘Moga aku mendapat suami yang soleh dan anak-anak yang soleh solehah’ dan sekian sekian.

Ayatnya lebih kurang begitu. Kata-kata yang tak lekang terpampang di kaca laptop saya dek kelapangan mengisi masa kosong melayan karenah FB. Fitrah manusia, semuanya mengimpikan kehidupan berumahtangga. Ingin dicintai dan mencintai. Ingin bersusah bersenang bersama-sama. Munafiq seandainya saya katakan tak pernah memasang cita-cita sedemikian.

Tiba-tiba fikiran saya berterbangan umpama layang-layang di awangan teringatkan seorang sahabat lelaki yang agak rapat dengan saya. Orangnya sedikit besar dan tinggi berbanding tubuh saya yang ‘rendang’ ini. Miliki bentuk mata ala-ala Korea disebabkan bermata sepet. Imbasan bentuk fizikal dan perwatakannya satu persatu mulai menjelma di dalam minda saya hasil permainan imaginasi otak kiri.

‘Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena’.

Mesej dari beliau yang terpapar di skrin telefon bimbit ‘Blackberry secondhand’ saya pada satu ketika. Saya tidak sempat melayan telatah nakal beliau waktu itu disebabkan masih berada di dalam satu program bernama LAMEGA bersama adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading. Minda saya mentafsir sendirian, ‘silap mesej kot.’ Itu jawapan saya saat itu. Cuba mencari jawapan buat diri mengikut kefahaman sendiri tanpa merujuk kepada si pemberi. Ingat teman-teman, jangan tiru aksi ini kerana bidalan Melayu ada menyebut, malu bertanya sesat jalan!

Keesokan hari, fikiran saya terlintas ingin merespon mesej sahabat baik semalam. Bb dibuka ke laman ‘buat mesej’ dan ibu jari tangan kanan dan kiri pantas memainkan peranan menaip mesej.

‘Salam wbt. Apa maksud gerangan mesej enta semalam akhi?

‘Wassalam wbt. Hati ana tak tenang Mar’.

‘Maksud enta?

‘Ana berkenan kat seseorang. Tapi ana tak tahu muslimat tu dah berpunya ke belum’.

‘Oh.. Masalah ni rupanya. So what?

‘Enta kena tolong ana Mar’.

Saya terkedu seketika. Bantuan apakah yang dihajatinya? Muslimat yang dia dambakan entah saya kenal ataupun tidak? Persoalan-persoalan pelik mula menerjah benak fikiran saya satu persatu. Bab pengalaman tak perlu sembang, sememangnya saya belum pernah menjadi orang tengah untuk mana-mana Ikhwah dan Akhawat yang inginkan bantuan untuk menyelesaikan hal-hal macam ni. ‘Takpe, aku soal selidik dulu. Kalau boleh bantu, aku bantu.’ Saya bermonolog sendirian.

‘Enta nak ana tolong macam mane akhi? Ana bukannya ada pengalaman dalam bab-bab macam ni. Lebih baik rujuk pada yang pakar. Hal nikah kawin ni bukan perkara main-main. Nak cari pasangan kena pilih betul-betul, bukan nak pakai sehari dua je bahkan kalau boleh nak hidup bersama selamanya. Lagipun ana tak kenal muslimat tu’.

‘Enta kenal dia. Enta pun rapat juga dengan dia.’

‘Ana kenal? Hurmmm.. Siapa muslimat yang enta maksudkan tu akhi?’

‘Dia Nur (nama samaran).’

Nur. Ya, saya amat mengenali gadis itu. Namanya juga sudah tidak kekok untuk disebut dan tidak asing untuk didengari lagi disebabkan kami banyak berkongsi masa terlibat dalam aktiviti-aktiviti organisasi dan melakukan kerja bersama. Saya tak menjangkakan bahawa nama muslimat tersebut yang bakal terpapar di paparan skrin telefon tangan saya. Tapi tak pelik sebab muslimat tersebut sememangnya memiliki keistimewaan dan karismanya yang tersendiri.

‘Enta serius ke? Muktamad?’

‘In syaa Allah, ana serius. Keputusan ana sudah muktamad. Ana tak nampak orang lain lagi selain dia.’

‘Kenapa enta tak pergi jumpa mak ayah dia je?’

‘Ana akan jumpa. Tapi sebelum tu ana nak tahu status tuan punya diri dulu. Kan tak pasal-pasal ana pergi taqdim tunangan orang pula. Tak baik akhi. Islam melarang kita meminang tunangan orang lain. Kan kita ada belajar Fiqh Usrah dulu, betul tak.’

‘Tahu takpe. Baiklah, ana akan cuba bantu enta. Tapi ana tak jamin keputusan yang dia beri membuatkan hati enta senang. Enta perlu redha dengan apa sahaja jawapannya nanti. Kalau dia dah jadi pinangan muslimin yang lain, enta terimalah dengan seadanya. Kalau belum, terpulang pula pada pilihan hati pula’.

‘Terima kasih Mar. Enta laa sahabat dunia akhirat ana, hehehe’.

‘Tak payah nak bodek analah. Belum masanya untuk bersuka ria dan berpesta. Jangan tinggal solat hajat dan istikhorah. Perbanyakkan doa kepadaNya. Nanti ana maklumkan balik kalau ada apa-apa perkembangan’.

Malam tu saya memerah akal sepenuhnya bagi mendapatkan idea dan strategi yang berkesan untuk memulakan perbincangan dengan Nur. Alhamdulillah, Nur memberikan kerjasama yang baik dalam soal ini. Kematangan dan kebijakannya tidak menyebabkan dia kalut serta hilang arah ketika mendapat tahu berita tersebut.

‘Bagi ana masa selama 2 minggu. In syaa Allah ana akan bagi keputusan yang tepat nanti’.

Jawapan akhir Nur ringkas sahaja berbanding di awal perbincangan yang memakan masa agak lama.


Selang 2 minggu kemudian.

Pedal motor Wave Dash merah hitam kepunyaan saya dipulas laju. Saat itu berbaju merah dan bertopi keledar merah. Sememangnya warna merah menjadi warna kegemaran saya. Mungkin juga rakan-rakan Kelantan yang lain kerana warna merah sudah sebati dengan rakyat Kelantan kesan pengaruh pasukan The Red Warriors yang diminati.

Apabila baru sahaja melepasi Fakulti Undang-undang UM, terasa telefon bimbit yang disimpan di dalam kocek kanan seluar slack hitam saya bergetar-getar menandakan ada mesej yang baru masuk. Motor dibawa ke tepi dan diberhenti di sebelah penjuru kanan jalan buat seketika untuk memeriksa mesej yang masuk.

‘Salam. Maaf andai mengganggu. Sekarang tempoh dua minggu yang dipinta telah berlalu. Ana dah ada jawapannya’.

Waktu itu saya tidak sempat untuk berbincang panjang lebar disebabkan ada komitmen di tempat lain. Justeru saya minta supaya jawapan diberikan pada malam nanti.

Malam itu saya menghubungi Nur semula. Soalan saya pendek dan ringkas sahaja, ‘Apa jawapan enti?’

‘Ana mulakan dengan memanjatkan segala puji-pujian bagi Allah yang memiliki hati ini yang telah mencampakkan hidayah dan inayah untuk memberikan jawapan yang paling benar. Ana akui, niat sahabat enta itu suci lagi murni. Tulus hati ini berterima kasih kepada sahabat enta. Sejujurnya ana belum milik siapa-siapa. Namun, pilihan hati ana buat waktu ini adalah ingin belajar dan mendalami ilmu terlebih dahulu. Maaf, ana bukan tak sudi, tapi ana belum bersedia,’

Bibir saya menguntumkan senyuman tanpa dipinta mengenangkan kisah tersebut. Walaupun jawapan dari Nur tak seperti yang diimpikan sahabat saya, namun sahabat saya bijak menghiburkan hatinya sendiri. Bila terjumpa atau terserempak di mana-mana, kata-kata perangsang buat dirinya yang selalu disebut-sebut adalah, ‘Bukan tak sudi, tapi belum bersedia’ sambil melemparkan senyuman manis.

"Persepsi: Wanita Berpurdah."

Saya menghirup ais asam jawa yang dipesan sambil melemparkan pandangan ke tayangan big screen yang sedang memaparkan drama melayu di tv3. Jarum jam menunjukkan hampir menepati pukul 11 malam. Topik perbincangan yang hangat pada malam ini menyebabkan kami lantang berhujah dan berdebat tanpa mempedulikan pelanggan-pelangan warung Pak Yob Tip Top yang lain. Masing-masing mempunyai pandangan dan gagasan idea yang tersendiri. Saya menghormati pandangannya walau sedikit tidak bersetuju dengan kenyataan yang diberi.



‘Ana bukan tak suka kat muslimah berpurdah akhi, tapi persepsi ana terhadap mereka mula berubah sekarang’.

‘Ehh.. kenapa pulak? Bagus laa mereka berpurdah, sekurang-kurangnya mereka dapat mengelak dari pandangan-pandangan liar kaum lelaki.'

‘Berpurdah, tapi hakikatnya nak tarik perhatian orang buat ape?’

‘Astaghfirullah akhi. Dah berpurdah, apasal nak tarik perhatian orang pula? Dah tutup sana, tutup sini, bagus laa tu.'

‘Cuba enta tengok kebanyakan wanita-wanita yang berpurdah sekarang. Seolah-olah nakkan publisiti ada laa. Ana tak salahkan niat mereka yang murni tu. Cuma yang ana cukup tak setuju bilamana purdah tu berwarna-warni, corak situ corak sini atau tudung warna pink dipadankan dengan purdah warna hijau. Tak ke nakkan perhatian kalau macam tu.'

Hati saya sedikit terjentik ingin membenarkan kata-katanya. Ada kebenarannya jua. Saya mendiamkan diri buat seketika. Berfikir untuk mengemukakan alasan yang terbaik dengan susunan kata-kata yang positif.
Alif (nama samaran), kawan saya yang seorang lagi hanya memerhatikan gelagat kami berdua. Bersetuju pun tidak, membangkang pun tidak. Tengah lena dibuai drama Melayu agaknya.

‘Benar kata-kata enta, tapi bagi ana ianya satu budaya yang baik. Ana akui kini trend berpurdah dengan fesyen tertentu semakin menular. Tapi sekurang-kurangnya ia mampu memikat hati para muslimah yang lain supaya menjaga aurat dengan sesempurna mungkin. Lagipun kalau nak dihitung dengan jutaan rakyat Malaysia yang lain, berapa ramai je yang berpurdah berbanding mereka yang langsung tidak menjaga aurat dengan betul. Tak payah toleh ke luar, tengok muslimah-muslimah API je. Tudung yang singkat, stongan dan stokin pun tak pakai. Padahal semuanya bakal-bakal ustazah, pendidik dan pendakwah agama ni’.

‘Ye tak ye jugak kata-kata enta ni. Tapi ana tetap tak bersetuju dengan trend berpurdah kini’.

‘Ye, ana pun sama. Tapi buat masa sekarang ni adalah lebih baik sekiranya kita sibukkan diri dan kusutkan minda dengan memikirkan cara dan kaedah yang berkesan untuk memberi kesedaran kepada para muslimah di luar sana supaya menjaga aurat dengan betul dahulu. Yang ni sepatutnya menjadi keutamaan kita sekarang akhi, betul tak?

Anggukan darinya menandakan dia bersetuju dengan saranan saya. Kemudian, perbincangan ditamatkan dan kami menikmati hidangan yang baru singgah ke meja yang dihantar oleh seorang pelayan lelaki ‘cute’ berbaju merah.

Teman-teman, pepatah Arab ada menyebut, “Pengetahuan adalah perbendaharaan, amalan adalah kuncinya”. Maksudnya adalah ilmu yang dipelajari tidak akan berfungsi jika tidak dipraktikkan.



Seseorang pelajar agama tidak memungkinkan bahawa dia akan beramal dengan agama sekiranya tidak ada penghayatan terhadap agama tersebut. Islam mewajibkan perkara-perkara tertentu kerana memiliki keistimewaan dan hikmah yang tertentu. Ilmu di dalam bilik kuliah bukan semata-mata untuk ditulis di atas kertas jawapan peperiksaan akhir semester tetapi untuk dihayati dan dijelmakan dalam bentuk amalan. Pelajar API, tunjukkan bahawa anda layak untuk digelar pelajar API.

"Aku Anak Buruh."

Hembusan damai bayu pagi menyapa wajahku. Kelihatan cahaya mentari mula menyimbah bumi.  Kedengaran suara hiruk pikuk irama kolaborasi kenderaan manusia dalam kejauhan. Nyanyian merdu sang burung menyedapkan gegendang telinga. Awan putih pula sedang berarak secara jama’i mengelilingi bumi.

Kehidupan di kota metropolitan ini amat mencabar diri. Segala macam tribulasi perlu ditempuhi. Bermacam mehnah harus diredahi. Pelbagai halangan perlu diatasi. Masalah datang dan pergi. Hilang dan muncul kembali. Hidup umpama roda. Kekadang kita di atas, kekadang kita di bawah. Kekadang kita senang, kekadang kita susah.

“Kalau belajar tinggi-tinggi ke universiti tapi tak bagi manfaat kepada masyarakat tak ada makna sijil yang kamu dapat.” Nasihat abahku satu ketika dulu.

Kata-kata ini masih tersemat kemas dalam cepu mindaku. Benar! Berapa ramai graduan-graduan IPT kini yang bijak akademik, tapi dalam urusan muamalat bersama masyarakat masih gagal. Ilmu yang dipelajari hanya berlegar di sekitar mereka yang sama level dengan mereka. Sebaiknya, golongan cerdik pandai ini menterjemahkan ilmu yang dipelajari dalam bentuk praktikal di lapangan sebenar juga. Tidak hanya menguasai ilmu teori semata-mata. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW juga mendidik kita sedemikian. Mukjizat Al-Quran bukan hanya sekadar untuk dibaca dan ditadabbur, tetapi untuk dipraktikkan di dalam kehidupan seharian kita. Ini jelas!

            Bila rakaman kata-kata abahku berulang-ulang hasil permainan imaginasi minda, aku seringkali kerinduan mengingatinya. Figura beliau tampak jelas dalam kotak fikiran dan tasik hati sanubariku. Insan yang banyak membentuk diri ini menanam visi yang jelas sebagai seorang muslim dan mukmin.

            Ismail bin Draman. Insan yang kental jiwa dan raganya. Aku cukup bertuah sekali menjadi anak kepada beliau. Abahku bukanlah tergolong dalam kalangan orang-orang senang. Belajar hanya sampai tingkatan 3. Pada usia remaja lagi sudah merantau ke luar negeri membanting tulang mencari rezeki. Kini bekerja sebagai buruh. Buruh kasar. Cerita ini bukanlah untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap ketentuan Allah, tapi untuk mengisytiharkan bahawa aku bangga memiliki batang tubuh yang mengalirnya darah beliau dalam diriku. Dan aku bangga menggelarkan diriku anak kepada seorang tukang rumah. Sedikit sebanyak dapat mengendurkan rasa egoku di khalayak manusia yang lain.

            Kerjanya sebagai buruh binaan rumah. Keluar dari rumah pada jam 8 pagi dan pulang pada jam 5 petang. Inilah rutin harian beliau kecuali hari Jumaat. Penat tak kerja buruh? Hanya yang pernah merasainya sahaja arif penat lelah kerja tersebut. Tulang empat kerat bagaikan nak patah bagi yang belum biasa. Aku dan adik-adik lelakiku pernah merasai ‘nikmatnya’ menjadi buruh. Hari pertama bekerja menyebabkan sistem dalam tubuh tidak keruan. Anggota badan sakit-sakit dan urat saraf membengkak. Tapi kami tak berduka atau kecewa, malah bangga dapat menawarkan diri membantu beliau. Lagipun, kami hanya dipertanggungjawabkan menjadi kuli. Kerja kuli tidak seberat tukang rumah seperti beliau. Panas terik matahari menjadi atap buat beliau. Tukul, gergaji, paku, batu bata, pasir dan sebagainya menjadi ‘makanan’ beliau.

Bila bekerja, dia sentiasa laksanakan dengan penuh kesungguhan. Aku tak pernah mendengar rungutan beliau ditakdirkan begitu. Yang diajar kepada kami adalah belajar, belajar dan belajar sehingga berjaya. Jangan ibarat melepaskan batuk di tangga. Belajar sekerat jalan, kemudian berhenti. Bukan gusar menyusahkan orang tua, tapi ditakuti diri sendiri yang merana nanti.

Ingat teman-teman, dalam perlumbaan mengejar ilmu pengetahuan tiada istilah belajar sehingga wisel penamat. Proses pembelajaran ilmu sentiasa subur. Bak kata-kata hikmat Arab, “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.” Justeru, selagi kita masih bernafas, tuntutan mencari ilmu menjadi kemestian.

“Abah. Dirimu dan ibu menjadi sumber inspirasi dan motivasi untukku menggapai kejayaan. Memikul tanggungjawab selaku anak pertama kepada keluarga mematangkan aku agar tidak jemu-jemu berusaha. Kekurangan yang kita hadapi sekarang ini akanku hiasi kalian berdua dengan kemudahan satu hari nanti. Abah. Aku tidak kuat melihat engkau dalam keperitan.  Setiap titisan peluh yang engkau tumpahkan akanku balas dengan sijil kemenangan kelak. Aku berjanji, aku akan menjadi anak yang soleh. Abah dan ibu, dikaulah pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul.”




Noktah.