Sunday 1 December 2013

"Yang Cantik Itu Akhlak"

 
“Robbana hablana min azwaajina wa zurriyyaatina qurrata ak’yun waj’alna lilmuttaqiina imaama…”

((Maksudnya: Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pasangan dan zuriat keturunan yang menyedapkan mata memandang dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa)).
 
Amin.

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Madrasah Al-falah. Kelihatan tiga anak muda usai solat maghrib berjemaah. Abdullah Rasydan menjadi Imam. Zaimi Zakri dan Amir Rashid pula mengiringi sebagai makmum di belakangnya. Alunan doa oleh Abdullah itu tadi amat menggetarkan jiwa Zaimi dan Amir. Memiliki suara yang lunak dan reti meniru lenggok bacaan seumpama Sheikh Rashid al-Afasi, Sheikh Sudais dan Sheikh Said al-Ghamidi mampu membuatkan sesiapa sahaja khusyuk menghayati melodi yang diiramakannya. Kala solat sebentar tadi, Abdullah membacakan surah as-Soff. Di samping ingin menyampaikan mesej yang tersemat di dalam surat cinta Allah tersebut, Abdullah ingin menguji kekuatan mindanya mengingati surah yang baru dihafaznya. Ini kerana Abdullah akan menghadapi ujian tasmi’ juz 29 pada isnin nanti.

            Menjadi kelaziman bagi warga al-Falah, setelah selesai menunaikan kewajipan solat fardhu maghrib, mereka akan berhimpun dan membentuk halaqah sambil menanti waktu Isya. Persoalan agama, isu-isu politik semasa, isu pendidikan, perkembangan gerakan Islam, termasuk juga hal-hal peribadi menjadi topik perbincangan. Namun, pada malam itu hanya tinggal mereka bertiga sahaja. Rakan-rakan yang lain masih belum pulang. Justeru, halaqah yang dibuat berlegar antara mereka bertiga sahaja.

“Ramai ke datang kursus jenazah tadi?” Abdullah memulakan soal jawab sambil menjeling ke arah Amir kerana hanya Amir yang berada di madrasah tersebut siang tadi.

“Boleh tahan juga. Ana sekadar memerhati dari luar je. Dalam jam 11am ana keluar ke API.” Amir memberikan jawapan tanpa ragu-ragu. “Eh, enta macam mana Mi? Best tak kursus kawin tadi?” Laju Amir mengajukan pertanyaan kepada Zaimi sebelum meneguk air mineral berjenama Capri. Air itu lebihan program kursus jenazah anjuran Parlimen Lembah Pantai siang tadi.

“Ok je. Ana rasa macam tak sabar pula nak kawin, hehehe.” Zaimi jawab acuh tak acuh sambil tersengih-sengih menampakkan gigi kapaknya yang putih.

“Amboi, enta dah jumpa jodoh ke dalam kursus ni? Siapa Mi? Ce kongsi.” Dua dalam satu soalan bertali arus diaju Amir yang dimuntahkan kepada Zaimi.

“Ana nampak dia je, tak nampak orang lain dah.” Jawab Zaimi sambil menekan butang ‘on’ pada komputer ribanya. Bibirnya melebarkan senyuman umpama mawar kembang pagi. Entah sahih atau gurauan, Amir dan Abdullah tidak pasti. Yang pastinya, mereka mengerti ‘dia’ yang dimaksudkan rakannya itu.

“Akhlak dia kurang sikit Mi. Bukan jahat, tapi kurang matang dan kebudak-budakan. Dan ada lagi tabiat buruk yang lain yang mungkin enta sendiri pun tahu.” Abdullah mencelah. Dahinya kelihatan berkerut menandakan tidak berkenan dengan pilihan Zaimi.

“Betul tu Mi. Kesian enta nanti. Memang dia cantik, tapi perangainya kurang cantik Mi. Sebelum ni, ana ada juga rasa aura kemantapan peribadinya tika terserempak di mana-mana. Tapi, setelah diketahui perangai sebenar, ‘mindset’ ana terus berubah.” Amir menambah perisa bagi menyedapkan lagi hujah yang dikemukakan Abdullah tadi.

“Ye, ana tahu semua tu akhi. Ana pun tahu teguran korang berdua sebab sayang ana. Tapi kan, ana rasa ana mampu bimbing dia nanti.” Zaimi.

“Akhi, rupa yang cantik tak semestinya baik. Tapi, sahsiah yang baik itulah yang cantik. Ini yang perlu menjadi keutamaan tika ingin memilih pasangan hidup. Jangan dahulukan melihat pada kejelitaan paras rupa seseorang wanita dahulu, tapi lihatlah pada kerupawanan hati dan akhlaknya. In shaa Allah, baru bahagia nanti.” Amir lancar berkata-kata sambil mencuit tangan Abdullah agar terus menasihati Zaimi.
 
“Enta, Ana, Amir, malah sesiapa sahaja harus ingat pesan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, jika ingin memilih bakal isteri, maka pilihlah yang baik agamanya dengan mengenepikan soal kecantikan, kekayaan dan keturunan.’Point’nya adalah agama. Tanpa agama, rumah tangga akan punah ranah. Yang menjadi mangsanya nanti ialah anak-anak dan masyarakat setempat. Fikir baik-baik ye Mi.” Abdullah. 

“Ana tetap teguh dengan pilihan ana. Sebab apa? Bagi ana, akhlak yang baik boleh dibentuk, dibimbing dan dipimpin. Namun, rupa yang cantik tak boleh diubah atau ditukar ganti seperti kita memasang ‘cover set’ motorsikal. Nampak tak cantik, kita tukar yang baru. Tapi, rupa manusia yang sedia ada tak boleh dibuat sedemikian. Nanti termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah pula. Hukumnya haram sheikh! Ana yakin dan pasti, ana mampu tarbiyah dia nanti. Doakan ana ye?” Zaimi.
 
Abdullah dan Amir mengangguk-anggukkan kepala masing-masing. Terpaksa mengiakan tekad sahabat baiknya itu. Mereka mendoakan mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada Zaimi agar mampu mengubah sikap pilihan hatinya serta melembutkan qalbu pilihan Zaimi supaya mudah menerima didikannya nanti.

Laungan azan dari surau al-Khairiyah berdekatan mematikan perbincangan yang tengah hangat. Amir bangun dan tangannya mencapai mikrofon. Kemudian azan Isya’ dilaungkan. Walau madrasah al-Falah tidak lagi mendapat kunjungan masyarakat setempat melainkan jika ada kuliah atau ceramah, laungan azan lima waktu tetap dialunkan sebagai simbol untuk mensyiarkan lagi agama Islam yang indah ini.

Teman-teman, yang cantik rupawan itu bukanlah yang terbaik, tetapi yang baik akhlak itulah yang tercantik. Namun, jika baik akhlak serta cantik paras rupa, itu satu pakej boh!