“Robbana hablana min azwaajina wa zurriyyaatina
qurrata ak’yun waj’alna lilmuttaqiina imaama…”
((Maksudnya: Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pasangan dan
zuriat keturunan yang menyedapkan mata memandang dan jadikanlah kami pemimpin
bagi orang-orang yang bertaqwa)).
Amin.
. . . . . . . . . . . . . . . . . . . .
Madrasah Al-falah. Kelihatan tiga anak muda usai solat maghrib
berjemaah. Abdullah Rasydan menjadi Imam. Zaimi Zakri dan Amir Rashid pula
mengiringi sebagai makmum di belakangnya. Alunan doa oleh Abdullah itu tadi
amat menggetarkan jiwa Zaimi dan Amir. Memiliki suara yang lunak dan reti
meniru lenggok bacaan seumpama Sheikh Rashid al-Afasi, Sheikh Sudais dan Sheikh
Said al-Ghamidi mampu membuatkan sesiapa sahaja khusyuk menghayati melodi yang
diiramakannya. Kala solat sebentar tadi, Abdullah membacakan surah as-Soff. Di
samping ingin menyampaikan mesej yang tersemat di dalam surat cinta Allah
tersebut, Abdullah ingin menguji kekuatan mindanya mengingati surah yang baru
dihafaznya. Ini kerana Abdullah akan menghadapi ujian tasmi’ juz 29 pada isnin
nanti.
Menjadi kelaziman bagi
warga al-Falah, setelah selesai menunaikan kewajipan solat fardhu maghrib,
mereka akan berhimpun dan membentuk halaqah sambil menanti waktu Isya.
Persoalan agama, isu-isu politik semasa, isu pendidikan, perkembangan gerakan
Islam, termasuk juga hal-hal peribadi menjadi topik perbincangan. Namun, pada
malam itu hanya tinggal mereka bertiga sahaja. Rakan-rakan yang lain masih
belum pulang. Justeru, halaqah yang dibuat berlegar antara mereka bertiga
sahaja.
“Ramai ke datang kursus jenazah tadi?” Abdullah memulakan soal jawab
sambil menjeling ke arah Amir kerana hanya Amir yang berada di madrasah
tersebut siang tadi.
“Boleh tahan juga. Ana sekadar memerhati dari luar je. Dalam jam 11am
ana keluar ke API.” Amir memberikan jawapan tanpa ragu-ragu. “Eh, enta macam
mana Mi? Best tak kursus kawin tadi?” Laju Amir mengajukan pertanyaan kepada
Zaimi sebelum meneguk air mineral berjenama Capri. Air itu lebihan program
kursus jenazah anjuran Parlimen Lembah Pantai siang tadi.
“Ok je. Ana rasa macam tak sabar pula nak kawin, hehehe.” Zaimi jawab
acuh tak acuh sambil tersengih-sengih menampakkan gigi kapaknya yang putih.
“Amboi, enta dah jumpa jodoh ke dalam kursus ni? Siapa Mi? Ce kongsi.”
Dua dalam satu soalan bertali arus diaju Amir yang dimuntahkan kepada Zaimi.
“Ana nampak dia je, tak nampak orang lain dah.” Jawab Zaimi sambil
menekan butang ‘on’ pada komputer ribanya. Bibirnya melebarkan senyuman
umpama mawar kembang pagi. Entah sahih atau gurauan, Amir dan Abdullah tidak
pasti. Yang pastinya, mereka mengerti ‘dia’ yang dimaksudkan rakannya itu.
“Akhlak dia kurang sikit Mi. Bukan jahat, tapi kurang matang dan
kebudak-budakan. Dan ada lagi tabiat buruk yang lain yang mungkin enta sendiri
pun tahu.” Abdullah mencelah. Dahinya kelihatan berkerut menandakan tidak
berkenan dengan pilihan Zaimi.
“Betul tu Mi. Kesian enta nanti. Memang dia cantik, tapi perangainya
kurang cantik Mi. Sebelum ni, ana ada juga rasa aura kemantapan peribadinya
tika terserempak di mana-mana. Tapi, setelah diketahui perangai sebenar, ‘mindset’
ana terus berubah.” Amir menambah perisa bagi menyedapkan lagi hujah yang
dikemukakan Abdullah tadi.
“Ye, ana tahu semua tu akhi. Ana pun tahu teguran korang berdua sebab
sayang ana. Tapi kan, ana rasa ana mampu bimbing dia nanti.” Zaimi.
“Akhi, rupa yang cantik tak semestinya baik. Tapi, sahsiah yang baik
itulah yang cantik. Ini yang perlu menjadi keutamaan tika ingin memilih pasangan
hidup. Jangan dahulukan melihat pada kejelitaan paras rupa seseorang wanita
dahulu, tapi lihatlah pada kerupawanan hati dan akhlaknya. In shaa Allah, baru
bahagia nanti.” Amir lancar berkata-kata sambil mencuit tangan Abdullah agar
terus menasihati Zaimi.
“Enta, Ana, Amir, malah sesiapa sahaja harus ingat pesan junjungan besar
Nabi Muhammad s.a.w, jika ingin memilih bakal isteri, maka pilihlah yang baik
agamanya dengan mengenepikan soal kecantikan, kekayaan dan keturunan.’Point’nya
adalah agama. Tanpa agama, rumah tangga akan punah ranah. Yang menjadi
mangsanya nanti ialah anak-anak dan masyarakat setempat. Fikir baik-baik ye Mi.”
Abdullah.
“Ana tetap teguh dengan pilihan ana. Sebab apa? Bagi ana, akhlak yang
baik boleh dibentuk, dibimbing dan dipimpin. Namun, rupa yang cantik tak boleh
diubah atau ditukar ganti seperti kita memasang ‘cover set’ motorsikal.
Nampak tak cantik, kita tukar yang baru. Tapi, rupa manusia yang sedia ada tak
boleh dibuat sedemikian. Nanti termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah
pula. Hukumnya haram sheikh! Ana yakin dan pasti, ana mampu tarbiyah dia nanti.
Doakan ana ye?” Zaimi.
Abdullah dan Amir mengangguk-anggukkan kepala masing-masing. Terpaksa mengiakan
tekad sahabat baiknya itu. Mereka mendoakan mudah-mudahan Allah memberi
kekuatan kepada Zaimi agar mampu mengubah sikap pilihan hatinya serta
melembutkan qalbu pilihan Zaimi supaya mudah menerima didikannya nanti.
Laungan azan dari surau al-Khairiyah berdekatan mematikan perbincangan
yang tengah hangat. Amir bangun dan tangannya mencapai mikrofon. Kemudian azan
Isya’ dilaungkan. Walau madrasah al-Falah tidak lagi mendapat kunjungan
masyarakat setempat melainkan jika ada kuliah atau ceramah, laungan azan lima
waktu tetap dialunkan sebagai simbol untuk mensyiarkan lagi agama Islam yang
indah ini.
Teman-teman, yang cantik rupawan itu bukanlah yang terbaik, tetapi yang
baik akhlak itulah yang tercantik. Namun, jika baik akhlak serta cantik paras
rupa, itu satu pakej boh!
Nice entry :)
ReplyDelete