. . . . . . . . . . . . . . .
Firdaus bin Mustapha. Temanku yang paling akrab tika sekolah menengah dahulu. Di mana aku berada, di situ ada Firdaus. Di mana ada Firdaus, pasti aku seringkali di sisinya. Dua orang sahabat yang sangat rapat. Ibarat isi dengan kuku. Umpama aur dengan tebing. Bak Abu Bakr as-Siddiq r.a dan Umar al-Khattab r.a. Figura wajah beliau yang senantiasa tenang bak air sungai yang mengalir perlahan membayangi mindaku. Tiba-tiba hati ini terpalit rasa sebak dan pilu. Kenapa ye? Mungkinkah aku rindu ingin memeluk kemas tubuhnya? Atau ingin menggenggam erat tangannya? Boleh jadi ingin ketawa riang bersamanya? Atau apa-apa sahajalah.
‘Mar, enta dapat jawab dengan baik tak soalan tasawwur Islam tadi?’ Sapanya saat aku baru nak hidupkan motor untuk pulang ke rumah.
‘Alhamdulillah, jawab tu boleh. Samada betul atau tak tu ana tak pasti laa. Enta macam mana? Mesti dapat score kan?’
‘Ana jawab lebih kurang je. In syaa Allah amin.’ Jawapannya ringkas sambil tersenyum manis.
Kami amat serasi diganding bersama. Dalam apa-apa jua program mahupun aktiviti kurikulum atau ko-kurikulum sekolah, kami berdua pasti akan melibatkan diri. Jika dia pengarah, akulah unit pengisian. Sekiranya aku pengarah, maka dialah yang ditugaskan menjawat unit pengisian. Kami juga berkongsi impian dan cita-cita yang sama. Berjaya dalam SPM dan melanjutkan pelajaran ke menara gading. Berikrar dan berjanji untuk menjaga ukhwah yang terbina. Agar cinta yang bersemi kerana Allah ini terus mekar sepanjang masa.
Kini, hampir 7 tahun masa berlalu. Perbualan antara aku dan dia usai menjawab soalan peperiksaan tasawwur Islam di SMU (A) Azhariah 7 tahun yang lalu masih segar terngiang-ngiang dalam benak kepalaku. Masih ingat! Dalam waktu seminggu menghadapi peperiksaan SPM tahun itu meninggalkan memori pahit yang amat kelam. Dia telah pergi buat selama-lamanya. Tidak sempat menghabiskan saki baki perjuangan sebagai seorang pelajar tingkatan 5. Seluruh pelajar dan kakitangan sekolah dilanda kemurungan. Aku kaget. Sedih. Sebak. Menangis. Tak keruan dan bermacam-macam situasi yang tidak senang mulai melanda diri.
Insiden kemalangan jalanraya yang menimpanya menyebabkan dia ditahan di dalam wad ICU di HUSM Kubang Kerian. Koma selama beberapa hari. Akhirnya meninggal tanpa aku sempat bersalam memohon maaf darinya. ‘Ya Allah, moga dia memaafkan segala dosaku padanya.’

This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete