Hembusan damai bayu pagi menyapa wajahku.
Kelihatan cahaya mentari mula menyimbah bumi.
Kedengaran suara hiruk pikuk irama kolaborasi kenderaan manusia dalam
kejauhan. Nyanyian merdu sang burung menyedapkan gegendang telinga. Awan putih pula
sedang berarak secara jama’i mengelilingi bumi.
Kehidupan di
kota metropolitan ini amat mencabar diri. Segala macam tribulasi perlu
ditempuhi. Bermacam mehnah harus diredahi. Pelbagai halangan perlu diatasi.
Masalah datang dan pergi. Hilang dan muncul kembali. Hidup umpama roda.
Kekadang kita di atas, kekadang kita di bawah. Kekadang kita senang, kekadang
kita susah.
“Kalau belajar tinggi-tinggi ke universiti tapi tak bagi manfaat kepada
masyarakat tak ada makna sijil yang kamu dapat.” Nasihat abahku satu ketika dulu.
Kata-kata
ini masih tersemat kemas dalam cepu mindaku. Benar! Berapa ramai
graduan-graduan IPT kini yang bijak akademik, tapi dalam urusan muamalat
bersama masyarakat masih gagal. Ilmu yang dipelajari hanya berlegar di sekitar
mereka yang sama level dengan mereka. Sebaiknya, golongan cerdik pandai
ini menterjemahkan ilmu yang dipelajari dalam bentuk praktikal di lapangan
sebenar juga. Tidak hanya menguasai ilmu teori semata-mata. Agama Islam yang
dibawa oleh Nabi Muhammad SAW juga mendidik kita sedemikian. Mukjizat Al-Quran bukan
hanya sekadar untuk dibaca dan ditadabbur, tetapi untuk dipraktikkan di dalam
kehidupan seharian kita. Ini jelas!
Bila
rakaman kata-kata abahku berulang-ulang hasil permainan imaginasi minda, aku
seringkali kerinduan mengingatinya. Figura beliau tampak jelas dalam kotak
fikiran dan tasik hati sanubariku. Insan yang banyak membentuk diri ini menanam
visi yang jelas sebagai seorang muslim dan mukmin.
Ismail
bin Draman. Insan yang kental jiwa dan raganya. Aku cukup bertuah sekali menjadi
anak kepada beliau. Abahku bukanlah tergolong dalam kalangan orang-orang
senang. Belajar hanya sampai tingkatan 3. Pada usia remaja lagi sudah merantau
ke luar negeri membanting tulang mencari rezeki. Kini bekerja sebagai buruh. Buruh
kasar. Cerita ini bukanlah untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap ketentuan
Allah, tapi untuk mengisytiharkan bahawa aku bangga memiliki batang tubuh yang
mengalirnya darah beliau dalam diriku. Dan aku bangga menggelarkan diriku anak kepada
seorang tukang rumah. Sedikit sebanyak dapat mengendurkan rasa egoku di
khalayak manusia yang lain.
Kerjanya
sebagai buruh binaan rumah. Keluar dari rumah pada jam 8 pagi dan pulang pada
jam 5 petang. Inilah rutin harian beliau kecuali hari Jumaat. Penat tak kerja
buruh? Hanya yang pernah merasainya sahaja arif penat lelah kerja tersebut.
Tulang empat kerat bagaikan nak patah bagi yang belum biasa. Aku dan adik-adik
lelakiku pernah merasai ‘nikmatnya’ menjadi buruh. Hari pertama bekerja menyebabkan
sistem dalam tubuh tidak keruan. Anggota badan sakit-sakit dan urat saraf
membengkak. Tapi kami tak berduka atau kecewa, malah bangga dapat menawarkan
diri membantu beliau. Lagipun, kami hanya dipertanggungjawabkan menjadi kuli.
Kerja kuli tidak seberat tukang rumah seperti beliau. Panas terik matahari
menjadi atap buat beliau. Tukul, gergaji, paku, batu bata, pasir dan sebagainya
menjadi ‘makanan’ beliau.
Bila
bekerja, dia sentiasa laksanakan dengan penuh kesungguhan. Aku tak pernah
mendengar rungutan beliau ditakdirkan begitu. Yang diajar kepada kami adalah
belajar, belajar dan belajar sehingga berjaya. Jangan ibarat melepaskan batuk
di tangga. Belajar sekerat jalan, kemudian berhenti. Bukan gusar menyusahkan
orang tua, tapi ditakuti diri sendiri yang merana nanti.
Ingat
teman-teman, dalam perlumbaan mengejar ilmu pengetahuan tiada istilah belajar
sehingga wisel penamat. Proses pembelajaran ilmu sentiasa subur. Bak kata-kata
hikmat Arab, “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.” Justeru,
selagi kita masih bernafas, tuntutan mencari ilmu menjadi kemestian.
“Abah. Dirimu dan ibu menjadi sumber inspirasi dan motivasi untukku
menggapai kejayaan. Memikul tanggungjawab selaku anak pertama kepada keluarga
mematangkan aku agar tidak jemu-jemu berusaha. Kekurangan yang kita hadapi
sekarang ini akanku hiasi kalian berdua dengan kemudahan satu hari nanti. Abah.
Aku tidak kuat melihat engkau dalam keperitan.
Setiap titisan peluh yang engkau tumpahkan akanku balas dengan sijil
kemenangan kelak. Aku berjanji, aku akan menjadi anak yang soleh. Abah dan ibu,
dikaulah pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul.”
Noktah.
No comments:
Post a Comment