Wednesday 13 November 2013

“Bukan Tak Sudi, Tapi Belum Bersedia”

Malam kelmarin saya sempat membelek beberapa helaian buku bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’ karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Isi bukunya yang padat dengan perkongsian yang menarik dan kisah pengalaman penulis yang menampilkan mesej-mesej yang bermanfaat mulai mengajak fikiran dan jiwa saya khusyuk membacanya. Tajuknya sahaja sudah mampu menggetarkan jiwa penatapnya.

Saya lihat, kebelakangan ini juga ramai rakan-rakan yang terdiri daripada pelajar tahun akhir terutamanya mulai galak berbicara tentang perkahwinan atau Baitul Muslim.

‘Siapakah bakal imamku’?

‘Misi mencari makmum sejati’?

‘Surat buat bakal suami atau isteriku’.

‘Moga aku mendapat suami yang soleh dan anak-anak yang soleh solehah’ dan sekian sekian.

Ayatnya lebih kurang begitu. Kata-kata yang tak lekang terpampang di kaca laptop saya dek kelapangan mengisi masa kosong melayan karenah FB. Fitrah manusia, semuanya mengimpikan kehidupan berumahtangga. Ingin dicintai dan mencintai. Ingin bersusah bersenang bersama-sama. Munafiq seandainya saya katakan tak pernah memasang cita-cita sedemikian.

Tiba-tiba fikiran saya berterbangan umpama layang-layang di awangan teringatkan seorang sahabat lelaki yang agak rapat dengan saya. Orangnya sedikit besar dan tinggi berbanding tubuh saya yang ‘rendang’ ini. Miliki bentuk mata ala-ala Korea disebabkan bermata sepet. Imbasan bentuk fizikal dan perwatakannya satu persatu mulai menjelma di dalam minda saya hasil permainan imaginasi otak kiri.

‘Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena’.

Mesej dari beliau yang terpapar di skrin telefon bimbit ‘Blackberry secondhand’ saya pada satu ketika. Saya tidak sempat melayan telatah nakal beliau waktu itu disebabkan masih berada di dalam satu program bernama LAMEGA bersama adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading. Minda saya mentafsir sendirian, ‘silap mesej kot.’ Itu jawapan saya saat itu. Cuba mencari jawapan buat diri mengikut kefahaman sendiri tanpa merujuk kepada si pemberi. Ingat teman-teman, jangan tiru aksi ini kerana bidalan Melayu ada menyebut, malu bertanya sesat jalan!

Keesokan hari, fikiran saya terlintas ingin merespon mesej sahabat baik semalam. Bb dibuka ke laman ‘buat mesej’ dan ibu jari tangan kanan dan kiri pantas memainkan peranan menaip mesej.

‘Salam wbt. Apa maksud gerangan mesej enta semalam akhi?

‘Wassalam wbt. Hati ana tak tenang Mar’.

‘Maksud enta?

‘Ana berkenan kat seseorang. Tapi ana tak tahu muslimat tu dah berpunya ke belum’.

‘Oh.. Masalah ni rupanya. So what?

‘Enta kena tolong ana Mar’.

Saya terkedu seketika. Bantuan apakah yang dihajatinya? Muslimat yang dia dambakan entah saya kenal ataupun tidak? Persoalan-persoalan pelik mula menerjah benak fikiran saya satu persatu. Bab pengalaman tak perlu sembang, sememangnya saya belum pernah menjadi orang tengah untuk mana-mana Ikhwah dan Akhawat yang inginkan bantuan untuk menyelesaikan hal-hal macam ni. ‘Takpe, aku soal selidik dulu. Kalau boleh bantu, aku bantu.’ Saya bermonolog sendirian.

‘Enta nak ana tolong macam mane akhi? Ana bukannya ada pengalaman dalam bab-bab macam ni. Lebih baik rujuk pada yang pakar. Hal nikah kawin ni bukan perkara main-main. Nak cari pasangan kena pilih betul-betul, bukan nak pakai sehari dua je bahkan kalau boleh nak hidup bersama selamanya. Lagipun ana tak kenal muslimat tu’.

‘Enta kenal dia. Enta pun rapat juga dengan dia.’

‘Ana kenal? Hurmmm.. Siapa muslimat yang enta maksudkan tu akhi?’

‘Dia Nur (nama samaran).’

Nur. Ya, saya amat mengenali gadis itu. Namanya juga sudah tidak kekok untuk disebut dan tidak asing untuk didengari lagi disebabkan kami banyak berkongsi masa terlibat dalam aktiviti-aktiviti organisasi dan melakukan kerja bersama. Saya tak menjangkakan bahawa nama muslimat tersebut yang bakal terpapar di paparan skrin telefon tangan saya. Tapi tak pelik sebab muslimat tersebut sememangnya memiliki keistimewaan dan karismanya yang tersendiri.

‘Enta serius ke? Muktamad?’

‘In syaa Allah, ana serius. Keputusan ana sudah muktamad. Ana tak nampak orang lain lagi selain dia.’

‘Kenapa enta tak pergi jumpa mak ayah dia je?’

‘Ana akan jumpa. Tapi sebelum tu ana nak tahu status tuan punya diri dulu. Kan tak pasal-pasal ana pergi taqdim tunangan orang pula. Tak baik akhi. Islam melarang kita meminang tunangan orang lain. Kan kita ada belajar Fiqh Usrah dulu, betul tak.’

‘Tahu takpe. Baiklah, ana akan cuba bantu enta. Tapi ana tak jamin keputusan yang dia beri membuatkan hati enta senang. Enta perlu redha dengan apa sahaja jawapannya nanti. Kalau dia dah jadi pinangan muslimin yang lain, enta terimalah dengan seadanya. Kalau belum, terpulang pula pada pilihan hati pula’.

‘Terima kasih Mar. Enta laa sahabat dunia akhirat ana, hehehe’.

‘Tak payah nak bodek analah. Belum masanya untuk bersuka ria dan berpesta. Jangan tinggal solat hajat dan istikhorah. Perbanyakkan doa kepadaNya. Nanti ana maklumkan balik kalau ada apa-apa perkembangan’.

Malam tu saya memerah akal sepenuhnya bagi mendapatkan idea dan strategi yang berkesan untuk memulakan perbincangan dengan Nur. Alhamdulillah, Nur memberikan kerjasama yang baik dalam soal ini. Kematangan dan kebijakannya tidak menyebabkan dia kalut serta hilang arah ketika mendapat tahu berita tersebut.

‘Bagi ana masa selama 2 minggu. In syaa Allah ana akan bagi keputusan yang tepat nanti’.

Jawapan akhir Nur ringkas sahaja berbanding di awal perbincangan yang memakan masa agak lama.


Selang 2 minggu kemudian.

Pedal motor Wave Dash merah hitam kepunyaan saya dipulas laju. Saat itu berbaju merah dan bertopi keledar merah. Sememangnya warna merah menjadi warna kegemaran saya. Mungkin juga rakan-rakan Kelantan yang lain kerana warna merah sudah sebati dengan rakyat Kelantan kesan pengaruh pasukan The Red Warriors yang diminati.

Apabila baru sahaja melepasi Fakulti Undang-undang UM, terasa telefon bimbit yang disimpan di dalam kocek kanan seluar slack hitam saya bergetar-getar menandakan ada mesej yang baru masuk. Motor dibawa ke tepi dan diberhenti di sebelah penjuru kanan jalan buat seketika untuk memeriksa mesej yang masuk.

‘Salam. Maaf andai mengganggu. Sekarang tempoh dua minggu yang dipinta telah berlalu. Ana dah ada jawapannya’.

Waktu itu saya tidak sempat untuk berbincang panjang lebar disebabkan ada komitmen di tempat lain. Justeru saya minta supaya jawapan diberikan pada malam nanti.

Malam itu saya menghubungi Nur semula. Soalan saya pendek dan ringkas sahaja, ‘Apa jawapan enti?’

‘Ana mulakan dengan memanjatkan segala puji-pujian bagi Allah yang memiliki hati ini yang telah mencampakkan hidayah dan inayah untuk memberikan jawapan yang paling benar. Ana akui, niat sahabat enta itu suci lagi murni. Tulus hati ini berterima kasih kepada sahabat enta. Sejujurnya ana belum milik siapa-siapa. Namun, pilihan hati ana buat waktu ini adalah ingin belajar dan mendalami ilmu terlebih dahulu. Maaf, ana bukan tak sudi, tapi ana belum bersedia,’

Bibir saya menguntumkan senyuman tanpa dipinta mengenangkan kisah tersebut. Walaupun jawapan dari Nur tak seperti yang diimpikan sahabat saya, namun sahabat saya bijak menghiburkan hatinya sendiri. Bila terjumpa atau terserempak di mana-mana, kata-kata perangsang buat dirinya yang selalu disebut-sebut adalah, ‘Bukan tak sudi, tapi belum bersedia’ sambil melemparkan senyuman manis.

No comments:

Post a Comment