Wednesday 13 November 2013

"Persepsi: Wanita Berpurdah."

Saya menghirup ais asam jawa yang dipesan sambil melemparkan pandangan ke tayangan big screen yang sedang memaparkan drama melayu di tv3. Jarum jam menunjukkan hampir menepati pukul 11 malam. Topik perbincangan yang hangat pada malam ini menyebabkan kami lantang berhujah dan berdebat tanpa mempedulikan pelanggan-pelangan warung Pak Yob Tip Top yang lain. Masing-masing mempunyai pandangan dan gagasan idea yang tersendiri. Saya menghormati pandangannya walau sedikit tidak bersetuju dengan kenyataan yang diberi.



‘Ana bukan tak suka kat muslimah berpurdah akhi, tapi persepsi ana terhadap mereka mula berubah sekarang’.

‘Ehh.. kenapa pulak? Bagus laa mereka berpurdah, sekurang-kurangnya mereka dapat mengelak dari pandangan-pandangan liar kaum lelaki.'

‘Berpurdah, tapi hakikatnya nak tarik perhatian orang buat ape?’

‘Astaghfirullah akhi. Dah berpurdah, apasal nak tarik perhatian orang pula? Dah tutup sana, tutup sini, bagus laa tu.'

‘Cuba enta tengok kebanyakan wanita-wanita yang berpurdah sekarang. Seolah-olah nakkan publisiti ada laa. Ana tak salahkan niat mereka yang murni tu. Cuma yang ana cukup tak setuju bilamana purdah tu berwarna-warni, corak situ corak sini atau tudung warna pink dipadankan dengan purdah warna hijau. Tak ke nakkan perhatian kalau macam tu.'

Hati saya sedikit terjentik ingin membenarkan kata-katanya. Ada kebenarannya jua. Saya mendiamkan diri buat seketika. Berfikir untuk mengemukakan alasan yang terbaik dengan susunan kata-kata yang positif.
Alif (nama samaran), kawan saya yang seorang lagi hanya memerhatikan gelagat kami berdua. Bersetuju pun tidak, membangkang pun tidak. Tengah lena dibuai drama Melayu agaknya.

‘Benar kata-kata enta, tapi bagi ana ianya satu budaya yang baik. Ana akui kini trend berpurdah dengan fesyen tertentu semakin menular. Tapi sekurang-kurangnya ia mampu memikat hati para muslimah yang lain supaya menjaga aurat dengan sesempurna mungkin. Lagipun kalau nak dihitung dengan jutaan rakyat Malaysia yang lain, berapa ramai je yang berpurdah berbanding mereka yang langsung tidak menjaga aurat dengan betul. Tak payah toleh ke luar, tengok muslimah-muslimah API je. Tudung yang singkat, stongan dan stokin pun tak pakai. Padahal semuanya bakal-bakal ustazah, pendidik dan pendakwah agama ni’.

‘Ye tak ye jugak kata-kata enta ni. Tapi ana tetap tak bersetuju dengan trend berpurdah kini’.

‘Ye, ana pun sama. Tapi buat masa sekarang ni adalah lebih baik sekiranya kita sibukkan diri dan kusutkan minda dengan memikirkan cara dan kaedah yang berkesan untuk memberi kesedaran kepada para muslimah di luar sana supaya menjaga aurat dengan betul dahulu. Yang ni sepatutnya menjadi keutamaan kita sekarang akhi, betul tak?

Anggukan darinya menandakan dia bersetuju dengan saranan saya. Kemudian, perbincangan ditamatkan dan kami menikmati hidangan yang baru singgah ke meja yang dihantar oleh seorang pelayan lelaki ‘cute’ berbaju merah.

Teman-teman, pepatah Arab ada menyebut, “Pengetahuan adalah perbendaharaan, amalan adalah kuncinya”. Maksudnya adalah ilmu yang dipelajari tidak akan berfungsi jika tidak dipraktikkan.



Seseorang pelajar agama tidak memungkinkan bahawa dia akan beramal dengan agama sekiranya tidak ada penghayatan terhadap agama tersebut. Islam mewajibkan perkara-perkara tertentu kerana memiliki keistimewaan dan hikmah yang tertentu. Ilmu di dalam bilik kuliah bukan semata-mata untuk ditulis di atas kertas jawapan peperiksaan akhir semester tetapi untuk dihayati dan dijelmakan dalam bentuk amalan. Pelajar API, tunjukkan bahawa anda layak untuk digelar pelajar API.

No comments:

Post a Comment